Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Kedutaan tunggu kelulusan bawa pulang rakyat Malaysia dari India

NEW DELHI, 28 MAC: Sekurang-kurangnya 1,270 lagi warga Malaysia di New Delhi, Chennai, Tiruchirappalli, Mumbai dan Amritsardi masih menunggu untuk dipindahkan ketika pihak berkuasa kedua-dua negara bekerjasama rapat bagi memastikan lebih ramai dapat dihantar pulang.

Kira-kira jumlah sama selamat dihantar pulang menerusi penerbangan khas sejak larangan penerbangan dikuatkuasakan pada 17 Mac.

“Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Tinggi di New Delhi sentiasa berhubung dengan pihak India untuk memindahkan rakyat Malaysia,” kata seorang diplomat kepada Bernama pada Sabtu.

Malaysia telah memohon kebenaran India untuk memindahkan rakyatnya dari Amritsar dan New Delhi sementara permintaan untuk Mumbai dan Chennai dihantar beberapa hari lalu.

Kelulusan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Hal Ehwal Luar India dan pihak berkuasa penerbangan awam.

Ramai rakyat Malaysia semakin bimbang kerana tidak pasti berapa lama mereka akan berada di India.

“Mereka merungut dan merasa resah kerana ramai yang kekurangan duit,” kata diplomat itu.

Pasukan petugas dari Suruhanjaya Tinggi ditempatkan di bandar Punjab di Amritsar untuk membantu rakyat Malaysia sementara menunggu untuk dibawa pulang.

Perintah lockdown selama 21 hari bermula 25 Mac, belum pernah berlaku sebelum ini – demi untuk memastikan keseluruhan 1.3 bilion penduduk India duduk di dalam rumah – menjadi detik mencabar terutamanya kepada warga asing.

Misi diplomatik Malaysia berkata pihak suruhanjaya tinggi telah berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

– BERNAMA


Pengarang :