AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor lawan Perak di Stadium Bukit Jalil

SHAH ALAM, 3 MAC: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan aksi Liga Super antara Red Giants dan Perak, Sabtu ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

FAS dalam kenyataan memaklumkan keputusan tersebut selepas meneliti pelbagai faktor bagi menjaga keselamatan penyokong dan pemain susulan kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam.

“Buat masa ini, keputusan (pertukaran gelanggang) hanya untuk perlawanan di gelanggang sendiri.

“Kami akan meneruskan usaha yang perlu dilakukan di Stadium Shah Alam demi memastikan ia selamat digunakan bagi perlawanan ‘home’ seterusnya menentang Sarawak United pada pertengahan Mac,” kata kenyataan itu semalam.

Kenyataan sama menyebut, FAS bersama Darul Ehsan Facilities Management serta Kerajaan Selangor sedang mengatur strategi jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang.

“Kami ingin memohon maaf jika perubahan venue mengganggu rancangan yang dibuat, namun komited untuk mengembalikan venue perlawanan ‘home’ ke Stadium Shah Alam dalam masa terdekat.

“Kami juga akan memberikan perkembangan terkini berhubung status Stadium Shah Alam dan perjalanan perlawanan bagi pemegang pas bermusim serta info penyokong di Stadium Bukit Jalil dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge 2020 Januari lalu, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian ramai pihak terutama isu padang dan serpihan bumbung yang jatuh di kawasan penonton.


Pengarang :