(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ingkar PKP: Pesara kena laku khidmat masyarakat, menantu didenda

KLANG, 30 APRIL: Padah ingkar perintah kuarantin bagi membendung penularan jangkitan Covid-19, seorang pesara kerajaan hari ini diarah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) iaitu melakukan khidmat masyarakat, manakala menantunya didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Roszianayati Ahmad memerintahkan Misri Parlan, 66, menjalani PKW selama empat jam sehari bagi tempoh dua bulan dan perintah itu berkuat kuasa selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Beliau turut memerintahkan menantu Misri, A.D Safian Mohd Dimyati, 37, yang bekerja sebagai buruh, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Roszianayati ketika menjatuhkan hukuman berkata, beliau mengambil serius kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.

“Namun, saya nak bagi kamu berdua peluang, jangan ingkar arahan daripada kerajaan untuk patuh PKP dan apabila diarah untuk menjalani kuarantin 14 hari kamu kena ikut. Awak kena ingat perkara ini bukan tentang diri awak tetapi orang lain sebab jika awak keluar ada kemungkinan untuk Covid-19 merebak,” katanya.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan Covid-19 di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dengan tidak berada di sebuah rumah beralamat di Kampung Bukit Kapar di sini semasa pemeriksaan pihak polis, sedangkan mereka telah diperintah untuk berada di bawah pengawasan dan pemerhatian di rumah itu selama 14 hari dari 8 April sehingga 22 April lepas, tanpa mendapat pelepasan daripada pegawai yang diberi kuasa.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 6.20 petang, 9 April lepas mengikut Seksyen 22 (b) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kali pertama.

Semasa rayuan, peguam Nicholas Cheoh yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata kedua-dua anak guamnya telah menyesal atas perbuatan mereka dan memohon maaf kepada mahkamah serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan mereka.

“Bagi anak guam saya Misri, saya memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk dia melakukan kerja-kerja kebajikan berbanding mengenakan hukuman penjara atau denda kerana dibimbangi ia akan menjejaskan pencen yang diterima setiap bulan. Harap permintaan ini tidak keterlaluan tambahan pula anak guam saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Raoff, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada kedua-dua tertuduh kerana telah melanggar perintah kuarantin yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Perbuatan mereka melanggar perintah kuarantin boleh menyebarkan Covid-19 dan membahayakan orang di sekitar mereka. Kesalahan mereka serius kerana pandemik ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi satu dunia.

“Hukuman yang tinggi perlu sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman ringan, ia akan memberi mesej kepada orang ramai bahawa mahkamah tidak ambil serius kesalahan seperti ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :