Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais kesal laporan stesen TV persoal tindakan Jais tangguh akad nikah

SHAH ALAM, 20 APRIL: Langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menguatkuasakan akad nikah hanya dibenarkan kepada pasangan yang mempunyai Kebenaran Berkahwin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertepatan bagi mencegah penularan Covid-19, kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan tersebut dibuat selepas  lima jurunikah Jais pernah dikuarantin kerana didapati mempunyai kontak dengan individu yang positif Covid-19 sewaktu bertugas di majlis akad nikah sebelum itu.

Bagaimanapun, katanya, pada 13 April lalu Sultan Selangor telah berkenan untuk Jais memberi kelulusan khas kepada pasangan yang tetap ingin bernikah dalam tempoh PKP menerusi Kebenaran Berkahwin.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata pernikahan yang bakal dilangsungkan perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Jais bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dielakkan.

Justeru, beliau berkata pihaknya amat kesal dengan sikap dan tindakan sebuah stesen televisyen yang menyiarkan berita berkaitan `dilema bakal pengantin’.

“Segmen disiarkan semalam bukan sahaja bersifat berat sebelah, bahkan mempersoal dan mempertikai perintah atau titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan pada masa sama, bersikap tidak adil kepada Jais,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara lain stesen televisyen itu turut menyampaikan luahan pasangan pengantin yang pening sebab hasrat bernikah tidak dibenarkan selain mendakwa talian hotline Jais tidak boleh dihubungi.

Baru-baru ini, Jais menguatkuasakan penangguhan semua akad nikah di Selangor atas titah baginda Sultan yang sangat prihatin dengan ancaman wabak Covid-19 yang dikhuatiri menular kepada 6.5 juta rakyat negeri ini.


Pengarang :