Keadaan sekatan jalan raya dilakukan polis dan tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kelonggaran perintah kawalan, MKN rangka SOP mengikut zon

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan mengikut zon dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata SOP berbeza membabitkan zon merah, kuning dan hijau itu akan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis.

“Selain SOP dalam kawasan (mengikut zon), kita juga buat SOP pergerakan keluar dan masuk ke sesuatu zon, kawasan sempadan mesti dijaga kerana kita tak mahu orang dari zon merah masuk ke zon hijau.

“Kelonggaran tersebut kalau dibenarkan, kita mahu tahu sejauh mana ia boleh diberi, sebab itu kena bincang dgn KKM dan polis untuk mengeluarkan SOP khusus bagi setiap zon berkenaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan melonggarkan PKP di kawasan tertentu yang diisytihar zon hijau seperti Perlis kerana tiada kes baharu Covid-19 untuk tempoh tertentu.


Pengarang :