Isi ibadah Ramadan dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran serta menghayati pengajarannya.
PENDAPATRENCANA

Kembali patuh kepada Pencipta, rai Ramadan dalam kebiasaan baharu

Ramadan kali ini pastinya berbeza dengan Ramadan-Ramadan yang kita alami sebelum ini. Mana tidaknya, tiada siapa menyangka kita akan menyambutnya tanpa kebiasaan-kebiasaan terdahulu, seperti berbelanja di bazar Ramadan untuk juadah berbuka dan bersahur serta mengikuti solat terawih berjemaah di masjid berimamkan bacaan para huffaz.

Malahan, Ramadan saya sendiri biasanya dipenuhi dengan jadual berbuka puasa yang sibuk, ditambah dengan aktiviti pemberian sumbangan bagi menginsafi yang kurang bernasib baik.

Tetapi akibat dari ‘gangguan’ yang dibawa oleh koronavirus, kita semua terpaksa mengadaptasi dan menyambut Ramadan dengan cara yang berbeza. Dan ini mungkin permulaan kepada penyesuaian-penyesuaian lain dan selanjutnya menjadi kebiasaan baharu atau ‘new normal’.

Wabak Covid-19 yang melanda juga dianggap sebagai suatu ‘gangguan’ yang telah mengganggu-gugat pelbagai norma dan rutin kehidupan kita. Mahu tidak mahu, kita dipaksakan dengan gaya hidup baharu yang menginstitusikan pemisahan jarak sebagai asas sebarang aktiviti.

Wabak ini membawa 1,001 kepayahan dan juga 1,001 hikmah. Mungkin juga sebagai suatu bentuk ‘teguran’ Tuhan kepada cara kita mengurus alam sekitar, dunia pasca Covid-19 kini mungkin lebih segar kerana telah direhatkan tanpa pencemaran karbon dioksida yang tak pernah henti-henti semenjak perindustrian berleluasa.

Kita kini berada dalam bulan Ramadan dalam erti kata sebenar. Dikenali juga sebagai ‘madrasah Ramadhan’, bulan ini kita sedang mengalami dan menjalani suatu medan latihan kegigihan sama ada dari segi kewangan, kesihatan dan sebagainya; suatu bentuk ‘panas terik’ yang merupakan istilah asal perkataan ‘ramadhan’ dalam bahasa Arab.

Dunia yang sedang berdepan Covid-19 bukan sahaja merupakan sebuah dunia ‘Ramadhan’ yang terseksa akibat ‘panas terik’ dari segi kesihatan, malah ekonomi serta politik.

Sedar atau tidak sedar, saban tahun kita memang dilatih oleh Allah S.W.T dengan ‘gangguan’ atau disruption yang berjadual, yakni nikmat ramadan. Dengan hadirnya bulan yang mulia ini, rutin kita sehari-hari yang penuh kelalaian dan terbiasa dengan dosa pun terhenti untuk memberi ruang kepatuhan total kepada Yang Maha Pencipta.

Semoga waktu yang mencabar ini memberi kita masa yang cukup untuk melaksanakan ibadah di rumah serta merenung kembali kepatuhan kita kepada Allah serta Rasul-Nya.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengingatkan semua untuk terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sentiasa mengamalkan amalan kebersihan yang baik seperti sering mencuci tangan dan melakukan penjarakan sosial agar sihat dan selamat sekeluarga.

Selamat menyambut ibadah puasa kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Selangor Darul Ehsan.

*Perutusan Ramadan 1441H/2020 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari


Pengarang :