Keadaan sistem saliran awam yang tercemar berikutan pembuangan sisa industri oleh sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Hi-Tech Semenyih. – Foto Facebook SPAN
AGENSISELANGOR

Kilang buang dakwat ke saliran awam disita

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebuah kilang percetakan di Kawasan Perindustrian Hi-Tech Semenyih, disita serta-merta hari ini kerana disyaki melepaskan efluen (sisa buangan) industri ke sistem saliran awam.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan berkata tindakan kilang itu melepaskan dakwat pewarna ke sistem saliran awam berjaya dikesan oleh Bahagian Penguatkuasaan SPAN bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pengurusan Air Selangor.

“Tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya mengelak perkara ini mengganggu gugat operasi sistem rawatan air di sekitar Sungai Semenyih.

“Aktiviti penyitaan premis dilakukan oleh penguatkuasa MPKj,” kata kenyataan itu.

Menurut SPAN, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi yang berkaitan bagi memastikan sistem bekalan air sentiasa terpelihara.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan SPAN akan mempertingkatkan lagi pengawasan dan rondaan di kawasan berisiko bagi mengelak pencemaran terhadap sumber air.


Pengarang :