Seorang pengunjung di pasaraya Aeon Big, Shah Alam membeli barangan pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPDNHEP jamin bekalan keperluan cukup

SHAH ALAM, 18 APRIL: Bekalan barangan keperluan dijamin mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa, kata Menteri Kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa menjalankan penguatkuasaan untuk memantau 25 jenis bekalan serta bertindak menangani isu-isu pembekalan.

Semalam, katanya, KPDNHEP membuat pemantauan harian di 1,021 premis peniagaan termasuk 785 peruncit, 205 pemborong dan 31 pengilang.

“Kerajaan berharap pihak pengeluar, pengedar, pemborong dan pasar raya sentiasa memberi kerjasama memastikan pembekalan barangan keperluan asas pengguna mencukupi.

“Pada masa sama melaporkan sebarang masalah kekurangan bekalan barangan kepada KPDNHEP untuk tindakan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semua syarikat, koperasi, persatuan serta pertubuhan diarah untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan mereka sehingga tarikh ditetapkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, mereka dibenar mengadakan mesyuarat secara dalam talian seperti persidangan video,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pekerja syarikat telekomunikasi dibenarkan membuat pemasangan internet di rumah pengguna sepanjang PKP, namun mesti disertakan surat untuk dikemukakan kepada polis yang menjalankan sekatan jalan raya.


Pengarang :