AGENDASUKANKINI

Liga-M rugi RM200 juta jika dibatal, ramai bakal dibuang kerja

SHAH ALAM, 28 APRIL: Industri bola sepak negara dijangka alami kerugian lebih RM200 juta jika Liga Malaysia (Liga-M) dibatalkan bagi mencegah penularan Covid-19, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan
dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mohd Sadek Mustaffa berkata pembatalan pertandingan tersebut bakal menyaksikan ramai dibuang kerja dengan pemain dan pegawai pasukan menjadi individu terawal dikenakan tindakan, lapor Harian
Metro.

“Jika pembatalan tetap diteruskan tanpa pertimbangan sewajarnya, sudah pasti persatuan bola sepak, penaja dan pemain industri boleh diletakkan dalam zon kehancuran.

“Ini kerana pembatalan sukan nombor satu negara ini turut menjejaskan industri berkaitan seperti sektor pelancongan tempatan, penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan makanan serta minuman, ” katanya hari ini.

Justeru Sadek menyarankan dana khas diwujudkan untuk menampung kerugian serta menyediakan peruntukan bagi menggerakkan bola sepak dari sudut normal baharu.

“Pasukan yang bersaing dalam Liga Super dengan bajet RM20 juta berdepan kemungkinan kehilangan 40 hingga 60 peratus punca pendapatan akibat liga dibatalkan.

“Pada masa sama, penaja ada hak untuk meminta semula tajaan mereka disebabkan tidak mendapat pulangan atas pelaburan yang dijanjikan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) lebih berhati-hati membuat keputusan dengan menyusun semula format pertandingan, termasuk membenarkan perlawanan diadakan secara
tertutup.


Pengarang :