Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja nyah cemar di tiga pasaraya yang terletak kira-kira lapan kilometer dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam dekat Kluang pada 28 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Muar zon merah ke-27, catat 44 kes semalam

SHAH ALAM, 15 APRIL: Muar menjadi daerah ke-27 diisytihar sebagai zon merah Covid-19 di seluruh negara setakat 12 tengah hari semalam.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada 4,987 kes positif seluruh negara, Muar mencatatkan 44 kes semalam berbanding 40 kes kelmarin.

“Terdapat pertambahan zon merah menjadi kepada 27. Daerah terbaharu zon merah ialah Muar.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula hari ini. Penting untuk kita terus duduk rumah dan penjarakan sosial untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Berdasarkan infografik CPRC KKM, Lembah Pantai masih merekodkan kes positif tertinggi iaitu 572 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan daerah kedua dan ketiga tertinggi masing-masing 433 dan 359 kes.

Menurutnya, keseluruhannya terdapat 16 kawasan zon jingga, 77 zon kuning serta 28 zon hijau di seluruh negara.

Selangor masih mencatat bilangan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 1,299 berbanding 1,249 kes kelmarin.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.


Pengarang :