Suasana di pusat pengumpulan e-kitchen Bangi yang dikendalikan menggunakan platform Plats (Platform Selangor) dan Grab. Foto Facebook Bisnes Amal MBI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peniaga e-bazar Ramadan seronok niaga secara dalam talian

SHAH ALAM, 28 APRIL: Rata-rata peniaga e-bazar Ramadan yang memulakan perniagaan secara dalam talian rasa bersyukur dan gembira kerana hasil jualan bertambah pada tahun ini.

Perkara berkenaan dikongsi peniaga menerusi rakaman video di Instagram BisnesAmalMBI.

“Hari ini dapat RM600, jika di bazar Ramadan saya dapat dalam RM400 sehari, jadi hasil jualan bertambah, memang seronok,” kata peniaga berkenaan.

Jelas peniaga itu lagi, penggunaan aplikasi dipilih Kerajaan Negeri juga amat mudah difahami.

Seorang lagi peniaga menceritakan duit jualannya menerusi e-bazar lebih selamat.

“Duit terus masuk bank, saya rasa lagi seronok dan lebih selamat,” katanya.

Tinjauan SelangorKini menerusi portal tempahan makanan di plats.com.my mendapati beberapa e-kitchen sudah beroperasi.

Ia termasuk e-kitchen Bandar Baru Rawang, Bangi Golf Resort, RekaScape Cyberjaya, Jalan TP7/3 Subang Jaya dan Jalan Semangat Petaling Jaya.

Turut dibuka di Taman Putra Kajang, Presint Alami Shah Alam, Pandan Indah Ampang, Jalan 7/7C Bangi dan Seksyen 14 Shah Alam.

Pada 24 April, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri menyediakan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa dengan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan.

Dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dipilih dengan penghantaran tempahan dikendali syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam sehingga 1 tengah hari dan kaedah tersebut mengurangkan pembaziran kepada peniaga.


Pengarang :