AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh jadi wad khas Covid-19

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Hospital Sungai Buloh berubah wajah apabila menjadi wad khas bagi merawat pesakit Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

“Ruang lama Pusat Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh telah berjaya ditukarkan kepada sebuah wad 60 katil khas untuk pesakit Covid-19 dengan gejala ringan,” tulis Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pusat kuarantin itu dibina sebagai persediaan untuk menempatkan pesakit jika jumlah kes positif wabak itu terus meningkat.

Turut dijadikan pusat kuarantin ialah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pusat Kawalan Kusta Negara itu pernah disyor untuk diiktiraf sebagai tapak warisan di bawah Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mantan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata kawasan berkenaan pernah menjadi penempatan kedua terbesar di dunia untuk pesakit kusta, selain banyak lagi sejarah dan pencapaian dalam dunia perubatan, khususnya untuk penyakit kusta.


Pengarang :