Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 22 pek plasma sedia diguna bagi penyelidikan

PUTRAJAYA, 17 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 22 pek plasma yang didermakan oleh sembilan bekas pesakit Covid-19 bagi tujuan penyelidikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada sembilan pesakit berkenaan, tiga daripada mereka menderma dua kali plasma tersebut yang akan digunakan hanya bila diperlukan.

“Setakat ini kami belum menggunakannya … 22 pek plasma tersedia di tempat kami, sekiranya terdapat keperluan, kami akan menggunakan plasma tersebut. Cumanya, bila perlu menggunakannya… terutama kepada pesakit dengan tindak balas imun yang lemah.

“Plasma berkenaan daripada pesakit yang dijangkiti sebelum ini dan mereka mempunyai tindak balas antibodi yang tinggi. Jadi itulah sebabnya mengapa kita boleh menggunakan plasma ini jika ada indikasi,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian dimaklumkan terdapat 10 lagi bekas pesakit bersedia tampil untuk menderma plasma mereka.

“Bagaimanapun kami akan menyaring mereka sebelum mengambil plasma mereka dan kemudian akan menggunakan plasma itu untuk merawat pesakit lain. Setakat ini sambutan baik,” katanya.

Ditanya mengenai keberkesanan ubat antiviral Remdesivir, beliau berkata ia digunakan bagi merawat pesakit kategori empat dan lima malah setakat ini penggunaannya tidak mempunyai masalah.

“Kita telah mulakan dengan pesakit yang pertama di Hospital Sungai Buloh…tempoh guna ubat tersebut lebih dua minggu, tapi apa yang pasti ini satu kaedah untuk rawatan tapi kita juga beri ubat-ubat lain,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya sama ada orang awam digalakkan untuk memakai pelindung muka berikutan ada laporan menyatakan virus Covid-19 boleh masuk ke tubuh melalui mata, beliau berkata apa yang penting adalah menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

“Virus akan masuk dalam tubuh kalau sentiasa gosok mata, ataupun jangkitan dari tangan dan sentuh muka dan sebagainya…kalau di khalayak ramai dan tempat awam kena sentiasa pakai penutup hidung dan mulut dan cuci tangan sebelum sentuh mata dan muka,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :