Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Covid-19: Dua mukim tiada kes aktif, jumlah zon hijau meningkat kepada 31

SHAH ALAM, 30 MEI: Jumlah mukim yang diisytihar sebagai zon hijau di Selangor hari ini meningkat kepada 31 susulan tiada lagi kes aktif Covid-19 direkodkan di Jeram dan Pasangan di Kuala Selangor.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya sentiasa waspada dengan ancaman pembawa virus yang tidak bergejala.

“Hari ini, mukim Jeram dan Pasangan telah bersih dari kes aktif menjadikannya bertambah baik ke zon hijau.

“Sentiasa beringat dengan ancaman pembawa virus yang tidak bergejala (asymptomatic) boleh berada berhampiran anda. Sentiasa amalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan juga pakai pelitup muka,” tulisnya di Facebook.

Semalam, kedua-dua mukim terbabit merekodkan dua kes aktif menjadikan Kuala Selangor masih berstatus zon kuning dengan keseluruhan enam kes aktif setakat ini.

Sementara itu, dua mukim di Hulu Langat kekal di zon merah iaitu Semenyih (68) dan Hulu Langat (46) sekali gus menjadi daerah tunggal di negeri ini memegang status berbahaya.

Bagi daerah pula, Sabak Bernam berada dalam zon hijau sejak kelmarin berikutan sifar kes aktif.

Enam daerah lain dilabel zon kuning ialah Sepang (40), Petaling (23), Kuala Langat (20), Hulu Selangor dan Gombak (16) termasuk Klang (lima).

Hari ini, kes baharu di Selangor menurun ke angka satu digit iaitu lima kes menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 1,878 dengan 251 aktif.

Negeri ini turut merekodkan sebanyak 1,530 kes pulih dan dibenar keluar hospital manakala angka korban kekal 22 orang.


Pengarang :