Anggota polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Cheras-Kajang, Kajang pada 15 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ikut SOP, amal norma baharu elak dikena PKP lagi – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 13 MEI: Penduduk negeri ini diingatkan agar tidak berasa selesa dan mengambil mudah walaupun kes positif Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka terendah semalam, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya untuk semua pihak mula menjalani kehidupan seperti biasa.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sebaliknya, beliau berkata amat mustahak untuk masyarakat mengikuti langkah yang disarankan Kerajaan Negeri susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini.

“Ini untuk memastikan Kerajaan Negeri tidak perlu mengambil tindakan tegas seperti sekatan pergerakan apabila berlaku wabak kluster baharu yang mengancam nyawa,” katanya di Facebook hari ini.

Dr Dzulkefly berkata keadaan itu boleh berlaku kerana kecuaian dan tidak mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan, selain tidak berusaha membudayakan norma baharu.

Malaysia merekodkan 16 kes Covid-19 semalam, iaitu terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, manakala tiada lagi zon merah di semua mukim di Selangor.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan semua restoran di Selangor kini dibenar beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam, tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.

Kerajaan Negeri juga bersetuju membuka semula semua jenis taman kepada rakyat untuk melakukan aktiviti riadah, namun pendakian dan perkhemahan belum dibenarkan buat masa ini.


Pengarang :