Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KKM jejak kontak rapat wanita hamil positif Covid-19

SHAH ALAM, 20 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) menjejaki kontak rapat seorang wanita yang disahkan positif Covid-19 ketika menjalani saringan di sebuah klinik kesihatan di Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berkenaan yang tinggal di Ampang, Selangor kini mengandung 35 minggu dan pulang ke Kelantan untuk melahirkan anak.

“Kita sedia maklum negeri Kelantan adalah zon hijau. Kes ini didapati (individu) balik kampung dari Ampang, Selangor iaitu zon merah.

“…tetapi apabila kita laksanakan ujian di klinik ibu dan anak mendapati beliau positif Covid-19. Beliau kini dirawat dan diasingkan,” kata beliau ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pertambahan satu kes positif membabitkan wanita itu hari ini menjadikan bilangan kes kumulatif di Kelantan adalah 156 kes.

Dalam sidang media sama, Noor Hisham menjelaskan individu yang pulang ke kampung selepas mendapat kebenaran polis tidak perlu menjalani saringan kecuali mempunyai gejala wabak.


Pengarang :