Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media Pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7 Shah Alam pada 20 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGIRKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Ramadan masa terbaik hayati, kembali kepada al-Quran

SHAH ALAM, 13 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam di seluruh negara khususnya Selangor untuk menghayati kandungan dan pengajaran al-Quran sepanjang Ramadan.

Dalam perutusan menerusi lintas langsung sempena World Quran Hour 2020 hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Ramadan adalah bulan terbaik untuk kembali kepada kitab suci dan menjadikannya panduan hidup.

“Saya ingin berkongsi ayat al-Quran yang menyentuh perasaan iaitu ayat 99 surah Az Zalzalah yang menceritakan dahsyat dan hiruk pikuk kejadian pada hari kiamat. Ketika itu manusia tertanya-tanya dan bumi menceritakan tugasnya sebagai hamba Allah melakukan dan menyempurnakan hari kiamat.

“Surah itu juga menyatakan setiap amal kita walau sebezar zarah sama ada baik atau buruk akan dinilai, justeru marilah kita sentiasa bersyukur kerana diberikan peluang kehidupan, nyawa dan iman untuk meneruskan amal sebagai khalifah di muka bumi,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata empat kesyukuran paling besar yang dinikmatinya ialah diberi peluang berkhidmat untuk membuat kebaikan serta bersama orang alim dan bijak pandai yang sentiasa memberi pedoman dan pencerahan mengenai kehidupan.

“Tidak ketinggalan Allah memberi peluang dan kemudahan untuk saya melalui liku dan cabaran dan sudah pasti dikurniakan keluarga yang baik dan sejahtera serta membahagiakan,” katanya.

Sebelum itu, Amirudin dan keluarga membaca surah Al-Hijr, ayat satu hingga 10 sempena World Quran Hour 2020 yang berlangsung serentak di seluruh dunia, bermula jam 11 pagi tadi.

Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung di Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.


Pengarang :