EXCOSELANGOR

Selangor lancar Kiss IT bantu 5,000 ibu tunggal

SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan Negeri  melancarkan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss IT) khusus untuk membantu 5,000 ibu tunggal negeri ini yang terjejas akibat Covid-19, kata EXCO Kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kiss IT ditambah baik daripada program asal ekoran kesan wabak turut menjejaskan golongan tersebut.

“Justeru, sebanyak RM7 juta diperuntukkan daripada program Kiss sedia ada dan ia dijangka dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

“Golongan ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima RM200 secara tanpa tunai (cashless) bagi pembelian keperluan asas di kedai dan pasar raya yang dikenal pasti sebagaimana pelaksanaan program Kiss,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Siti Mariah yang juga memegang portfolio Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berkata, Kiss IT boleh dimohon secara dalam talian di www.kiss.com.my bermula hari ini.

“Permohonan akan mengambil masa dua hingga empat minggu untuk proses kelulusan dan dijangka pembelian pertama boleh dibuat pada Jun ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi agensi pengendali di Hotline Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :