Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor pantau perkembangan kluster baharu babit warga asing – MB

SHAH ALAM, 29 MEI: Selangor akan memantau perkembangan kluster baharu Covid-19 membabitkan pekerja warga asing dari sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan selanjutnya akan diambil Bilik Gerakan Covid Selangor dan Jabatan Kesihatan Selangor bagi menghalang kes baharu itu menjadi kluster tidak terkawal.

“Peningkatan yang besar kes baharu (hari ini) disumbangkan oleh 20 kes dalam kalangan pekerja pembersihan KLIA yang tinggal di Kuala Langat.

“Kes baharu ini juga menjadikan Kuala Langat bertukar status kuning setelah lebih 14 hari tanpa kes,” tulisnya menerusi Twitter.

Amirudin berkata arahan segera dikeluarkan Majlis Keselamatan Negeri yang bersidang hari ini untuk menyaring semua pekerja KLIA termasuk melakukan proses nyahkuman.

“Jabatan Kesihatan negeri juga mengesan lebih 80 kontak langsung dalam kalangan pekerja pembersihan untuk disaring dan dikuarantin bagi elakkan perebakan. Setakat ini semua yang positif adalah pekerja asing,” tulisnya.

Hari ini, kes baharu Covid-19 di Selangor naik semula kepada dua digit apabila merekodkan 28 kes selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan satu angka.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kluster baharu syarikat pembersihan dikesan melibatkan dua asrama penginapan di Selangor dan Negeri Sembilan.


Pengarang :