AGENDANASIONALPENDIDIKAN

TalentCorp lancar inisiatif #KisahSiswa, bantu kerjaya graduan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini melancarkan inisiatif #KisahSiswa, sebuah inisiatif kebolehpasaran graduan, untuk membantu anak muda merangka perancangan kerjaya strategik, bagi menghadapi cabaran perubahan lanskap pasaran pekerjaan, kesan pandemik Covid-19.

Ketua Bahagian Graduan dan Bakat Baharu TalentCorp Mohamad Nazrul Aziz berkata, #KisahSiswa merupakan inisiatif di bawah kerangka ‘Young Employable Student’ (YES!), satu kerjasama di antara TalentCorp, Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan rakan strategik industri, dalam melengkapkan graduan dengan elemen kebolehpasaran dan kemahiran, selaras keperluan semasa industri dan sektor ekonomi utama negara.

Menurutnya, #KisahSiswa juga menyediakan saluran informasi dalam talian, yang akan berkongsi maklumat dan hebahan berkaitan kebolehpasaran graduan, acara berkaitan pekerjaan dan peluang pekerjaan, sesi perkongsian ilmu bersama industri dan forum dalam talian secara interaktif.

Katanya, melalui maklumat yang dikumpulkan dan pemahaman yang jelas tentang cabaran unik yang dihadapi graduan negara susulan daripada Covid-19, inisiatif itu dijangka berpotensi menjadi asas untuk menggubal strategi di peringkat kebangsaan, dan memperkukuhkan ekosistem bakat secara keseluruhan bagi merapatkan jurang dan ketidaksepadanan bakat pasaran pekerjaan negara.

“Kita juga perlu memberi penekanan kepada pentingnya kerjasama erat semua pihak untuk mencari penyelesaian, dan terus mendaya upaya ekosistem bakat tempatan, melangkaui situasi pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Nazrul berkata, sebagai memulakan perjalanan #KisahSiswa mereka, bakat muda digalakkan untuk mendaftarkan diri dalam talian bermula 28 April lalu melalui; www.surveymonkey.com/r/KisahSiswa .

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif TalentCorp yang dilaksanakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta, layari www.talentcorp.com.my/our-work/employer-partner .

-BERNAMA


Pengarang :