EXCOSELANGOR

EXCO: Kemas kini senarai pemaju, ahli lembaga pengarah bermasalah

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengemas kini senarai ahli lembaga pengarah pemaju perumahan bermasalah.

EXCO perumahan berkata langkah tersebut bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menubuhkan syarikat baharu serta menjalankan projek pembangunan di Selangor.

“Maklumat pemaju dan ahli lembaga pengarah projek terbengkalai akan dipaparkan di laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta diedar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan sikap lepas tangan pihak pemaju. Mereka disenarai hitam kerana memiliki rekod buruk gagal menyiapkan projek perumahan,” kata Haniza Talha kepada SelangorKini hari ini.

Haniza berkata pemaju perlu mendaftar dengan sistem pendaftaran pemaju (Spem) dalam tempoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang bagi semakan status kelayakan.

“Kebenaran merancang akan ditarik jika Spem mengesan ahli lembaga pengarah yang disenarai hitam. Cukup-cukuplah kita berkompromi dengan pihak tidak bertanggungjawab dan bagi pihak Kerajaan Selangor, kita lebih berhati-hati untuk memberi kebenaran merancang.

“Kita juga minta pembeli sentiasa membuat semakan di laman web LPHS atau berhubung dengan agensi berkaitan untuk menyemak status pemaju sebelum membeli rumah,” katanya.


Pengarang :