Anggota penguat kuasa PBT menggunakan kamera badan bagi keselamatan, ketelusan dan kecekapan ketika bertugas. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Kamera badan elak isu provokasi, tingkat kerjasama awam

SHAH ALAM, 30 JUN: Penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa boleh mengatasi isu provokasi dan kekasaran ketika bertugas, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan mendapat kerjasama lebih baik daripada orang ramai yang berhati-hati ketika bercakap apabila didekati.

“Penggunaan kamera badan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak jika penguat kuasa difitnah ketika bertugas atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa.

“Setakat ini MPK memiliki dua alat tersebut dengan seorang daripada pasukan penguat kuasa akan memakainya ketika bertugas dan bercadang menambah sekurang-kurangnya 15 lagi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya bercadang membeli 10 kamera badan dalam tempoh terdekat.

“MPS menyokong penggunaan peralatan ini kerana memberi kebaikan kepada semua pihak dan sebelum hujung tahun ini pasukan penguat kuasa kita dilengkapi kamera badan ketika melaksanakan tugas atau operasi,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada PBT untuk melaksanakan penggunaannya yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan integriti terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

Pada 6 Februari, seorang wanita memukul penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.


Pengarang :