AGENSISELANGOR

30,130 kes denggi di Selangor hingga 27 Jun, turun 15.2 peratus

SHAH ALAM, 30 JUN: Kes denggi di Selangor menyaksikan penurunan 15.2 peratus iaitu 30,130 kes sehingga minggu epid 26 yang berakhir pada 27 Jun lalu, kata pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor(JKNS).

“Ia kurang 5,411 berbanding 35,541 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Petaling muncul daerah tertinggi kes demam denggi dengan 10,655 kes diikuti Klang (5,722), Hulu Langat (5,369), Gombak (4,366) dan Sepang (1,674) manakala 29 kematian dilaporkan iaitu penurunan satu kes berbanding minggu sama tahun lalu,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah 337 dengan 55 perincian lokaliti hotspot, wabak tidak terkawal (29), wabak terkawal (238) dan wabak baharu (15).

Justeru, JKNS menyeru masyarakat untuk mengambil tindakan proaktif melibatkan aktiviti kawalan serta pencegahan denggi secara menyeluruh bagi memutuskan transmisi jangkitan tersebut.

Antara perkara disarankan adalah:

1. Menjalankan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk di seluruh premis dan kawasan persekitaran.

2. Fokus kawasan berpotensi pembiakan seperti di dalam tandas, taman mini, struktur bangunan/ lantai menakung air, longkang tersumbat, kawasan parkir kenderaan.

3. Menggunakan racun pemusnah jentik-jentik (abate) terutama pada bekas yang tidak dapat dimusnahkan seperti tangki atau kolah air.

4.  Menggalakkan penggunaan repellen, pakaian berlengan / seluar panjang terutama waktu kemuncak gigitan (awal pagi dan lewat petang).

5. Melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan lokasi berpotensi pembiakan aedes.


Pengarang :