Azmizam (kanan) meninjau keadaan jalan raya yang rosak di Pelabuhan Klang baru-baru ini. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
ADNSELANGOR

Lori, treler punca jalan Pelabuhan Klang rosak

SHAH ALAM, 24 JUN: Lambakan kenderaan berat yang berulang alik ke Pelabuhan Klang setiap hari menyebabkan jalan raya di kawasan sekitar rosak teruk.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata terdapat 363 syarikat kontena beroperasi di kawasan industri dan membabitkan pengangkutan berat.

“Lori dan treler banyak digunakan serta melalui jalan utama menyebabkan lubang, tidak rata dan beralun. Lebih memburukkan keadaan apabila hujan, tar rosak hingga mengundang bahaya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Jelas Azmizam tindakan syarikat utiliti yang mengganti dan membaiki paip serta kabel elektrik turut menyebabkan jalan raya rosak.

Beliau berkata meskipun RM50 juta diperuntukkan bagi membaiki jalan di situ, namun tidak mencukupi untuk menampung kerosakan.

“Setiap jalan diuruskan pihak berbeza, jadi peruntukan dikeluarkan juga berbeza. Kerajaan perlu fikir langkah jangka panjang antaranya buat jalan simen seperti di Lebuh Raya Utara Selatan untuk pastikan jalan tidak rosak,” katanya.


Pengarang :