Rodziah Ismail menyampaikan replika cek kepada Pengawai Daerah Petaling, Johary Anuar di Pejabat Daerah Petaling pada 1 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

MPKK guna aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’, pertama di Malaysia

PETALING JAYA, 1 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bakal menggunakan aplikasi khas untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan memberi maklum balas, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’ sedang dibangunkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan setakat ini dalam peringkat akhir percubaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Aplikasi ini adalah pertama di Malaysia dan kita jangkakan dapat digunakan dalam tempoh terdekat disemua kampung tradisi di Selangor sekaligus meningkatkan keberkesanan komunikasi dua hala.

“Jadi ketua kampung ada aplikasi khas untuk berurusan dengan komuniti, orang kampung dan kepemimpinan peringkat atasan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro MPKK daerah Petaling.

Seramai 228 penerima dari 19 kampung tradisi di Petaling menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM68,400.

Pada 15 Mei lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Mengulas lanjut Rodziah berkata penggunaan aplikasi pintar di peringkat MPPK seiring dengan inisiatif pelaksanaan Negeri Pintar terulung di peringkat serantau.


Pengarang :