Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan Siti Syuhada Sadiman mengambil bacaan suhu badan pelajar tingkatan lima Mohammad Izzueddin Amirhamza (kiri) yang mendaftar masuk ke asrama sekolah itu pada 23 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Patuh SOP, elak penularan Covid-19 di sekolah

SHAH ALAM, 23 JUN: Ibu bapa, pelajar dan kakitangan sekolah diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sesi persekolahan yang bermula esok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerjasama semua pihak itu penting bagi mengelak penularan Covid-19 serta memastikan sekolah tempat selamat untuk dikunjungi.

“Ibu bapa diingatkan supaya memastikan anak mereka sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan. Ini termasuk mengamalkan kebersihan diri dan penjarakan sosial sepanjang berada di dalam atau di luar sekolah.

“Aspek pelaksanaan dan pengurusan amat penting terutama memastikan individu yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak memasuki sekolah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sesi persekolahan akan bermula esok melibatkan kira-kira 2,000 sekolah dan 500,444 pelajar.

Pembukaan sekolah melibatkan pelajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan peperiksaan antarabangsa yang setara.


Pengarang :