EXCOSELANGOR

Penyedut minuman plastik, masih ramai peniaga ingkar

SHAH ALAM, 23 JUN: Kebanyakan peniaga masih menyediakan penyedut minuman plastik di premis makanan meskipun dilarang berbuat demikian bermula 1 Julai lalu.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata arahan tersebut antara syarat wajib dipatuhi peniaga ketika memperbaharui atau memohon lesen.

“Selepas setahun tahap pematuhan masih rendah terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Kita ingatkan sekali lagi pengusaha premis makanan supaya beri kerjasama dalam perkara ini.

“Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan kempen dalam kalangan masyarakat selaras sasaran Selangor bebas plastik pada 2025,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semua premis makanan dan minuman di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan mulai 1 Julai 2020.

Sebagai ganti, pengguna dinasihat menggunakan bahan daripada kertas, buluh atau besi tahan karat.

Mulai 1 Januari 2017, peniaga di Selangor dilarang membekalkan bekas makanan polistirena dan beg plastik secara percuma kepada pelanggan.


Pengarang :