Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin pada sidang media di Klang pada 17 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Premis dijaga warga asing, peniaga tempatan bakal disenarai hitam

KLANG, 30 JUN: Tindakan disenarai hitam akan dikenakan kepada peniaga tempatan yang menyerahkan premis perniagaan mereka kepada warga asing, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata menerusi tindakan itu pihaknya tidak akan membenarkan golongan berkaitan menjalankan perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Kita sedang meneliti tindakan berkenaan memandangkan hukuman membatalkan lesen dilakukan sebelum ini membolehkan peniaga tempatan melakukan kesalahan berulang kali kerana pemohonan lesen perniagaan boleh dibuat kembali selepas pembatalannya.

“Saya amat berharap supaya mereka bersemangat patriotik dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan kemudahan diberikan kepada warga asing, fikirkan demi masa depan anak bangsa,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Ahmad berkata MPK akan turut meneliti pemberian lesen kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing susulan ramai daripada mereka mengambil kesempatan itu.

“Sepatutnya warga tempatan yang memiliki lesen perniagaan perlu berada di premis dan bukan sebaliknya iaitu pasangan (warga asing) yang menjaga kedai, ia adalah salah dari segi undang-undang.

“Oleh sebab itu, apabila penguat kuasa MPK mendapati warga asing yang berada di kedai maka tindakan membatalkan lesen boleh diambil,” katanya.


Pengarang :