EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri usaha capai 30 peratus wanita pembuat dasar

SHAH ALAM, 30 JUN: Selangor terus berusaha mencapai sasaran 30 peratus wanita dalam semua peringkat pembuat dasar dan keputusan terutama di sektor kerajaan, kata EXCO kebajikan dan pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia mampu diraih berikutan dalam tempoh dua penggal diterajui Pakatan Harapan, hampir 25 peratus kaum Hawa mula memainkan peranan itu di peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Untuk memudahkan proses itu pentadbir atau pegawai di agensi atau jabatan Kerajaan Negeri perlu diberi pendedahan dan pemahaman mengenai gender.

“Antara usaha kita laksanakan adalah melalui pelaksanaan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) iaitu sebuah program intensif memantapkan kemahiran serta bertindak sebagai pengilap bakat untuk melahirkan lebih ramai pemimpin di sektor politik dan kerja sosial,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Dr Siti Mariah berkata program Women2Win juga dijalankan bagi menonjol bakat wanita muda selain mempersiapkan mereka terlibat dalam pilihan raya pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata program pembangunan kapasiti yang tersusun dan konsisten di peringkat akar umbi dapat meningkatkan kompetensi wanita menerusi kepimpinan dan pendidikan.


Pengarang :