Pegawai Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL melakukan saringan suhu badan kepada semua pegawai, kakitangan dan orang awam di pintu masuk pentadbirannya pada 16 Mac 2020. Foto Facebook MPKL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semua perkhidmatan kerajaan beroperasi sepanjang PKPP

PUTRAJAYA, 8 JUN: Semua perkhidmatan kerajaan beroperasi sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa Rabu ini sehingga 31 Ogos, manakala sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (WFH) masih diteruskan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan untuk dianjurkan dengan mematuhi prosedur keselamatan dan protokol kesihatan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Memandangkan sekolah masih belum dibuka sepenuhnya, sistem penggiliran dan WFH masih diteruskan mengikut keperluan dengan mengambil kira kebajikan penjawat awam sebagaimana Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam Rujukan JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6(6) bertarikh 2 Mei 2020.

“Ketua Jabatan hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan tegas dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebooknya hari ini.

Mohd Zuki berkata ketua-ketua jabatan perlu memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya seperti melaksanakan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata PKPP yang akan dikeluarkan oleh MKN termasuk semua arahan oleh pihak berkuasa hendaklah dipatuhi.

“Bagi menyokong ekonomi negara agar kembali berada di landasannya, saya menggesa agar semua projek-projek pembangunan diteruskan dengan kadar segera.

“Bagi projek-projek yang benar-benar memerlukan lawatan tapak, aktiviti ini adalah dibenarkan dengan mengamalkan kebiasaan baharu dan meminimumkan bilangan peserta,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :