Sebuah pesawat penumpang Boeing 777 membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFP
AGENDANASIONAL

Tiga rakyat Malaysia dari luar negara disyaki positif Covid-19

SHAH ALAM, 20 JUN: Tiga rakyat Malaysia yang baharu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dibawa ke hospital kerana disyaki positif Covid-19.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata mereka antara 281 warga tempatan yang pulang dari Singapura, Emeriah Arab Bersatu (UAE), China, Brunei, Pakistan, Vietnam dan Hong Kong.

“Manakala 278 lagi diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

“Sehingga 18 Jun lalu, Kementerian Kesihatan membuat saringan ke atas 6,719 individu di seluruh pintu masuk negara,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada pemeriksaan sejak 10 Jun lalu, 6,696 orang didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Katanya, 22 individu didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala seorang lagi masih menunggu keputusan saringan.

Sementara itu, sebanyak 70 operasi sanitasi dilakukan di seluruh negara meliputi 43 zon di 11 negeri antaranya Sarawak (19 operasi), Melaka (14 operasi) dan Sabah (10 operasi).

Op Sanitasi Awam dibawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan 8,703 operasi merangkumi 134 zon sejak 30 Mac lalu.


Pengarang :