Helikopter Super Lynx MK100 daripada Skuadron 501 berlepas dari kapal KD LEKIU bagi melaksanakan Op Benteng melalui ruang udara di sekitar perairan Selat Melaka Utara. Rondaan dilakukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertujuan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan Pendatang Asing tanpa izin (PATI), pelanunan, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing dikhuatiri semakin meningkat akibat pandemik Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

5,951 pendatang tanpa izin dihantar pulang semasa PKP

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Seramai 5,951 tahanan di Depot Tahanan Imigresen dihantar pulang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula 18 Mac sehingga 1 Julai.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan daripada jumlah itu seramai 4,110 adalah rakyat Indonesia; Thailand (637); Myanmar (391); Pakistan (380); Bangladesh (279); China (73); India (26); Sri Lanka (11) dan lain-lain 44 orang.

“Dari 1 Januari hingga 2 Julai 2020, Jabatan Imigresen melaksanakan 4,301 operasi yang melibatkan pemeriksaan 68,033 orang warganegara asing. Hasilnya, seramai 17,473 pendatang tanpa izin dan 250 orang majikan diambil tindakan undang-undang.

“Daripada jumlah itu, warganegara Indonesia mencatat jumlah tangkapan yang tertinggi iaitu 6,514 dan diikuti Bangladesh seramai 2,964 orang dan bakinya adalah Filipina, Myanmar, Thailand dan lain-lain,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen, bagi menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PAKATAN-Johor Bahru).

Selain itu, KDN memaklumkan sebanyak 59,946 operasi dijalankan Jabatan Imigresen dengan tangkapan seramai 191,632 pendatang tanpa izin dan 5,484 orang majikan pada tahun 2016 hingga 2019.

-BERNAMA


Pengarang :