AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini meneruskan penurunan semalam tetapi meningkat semula kemudiannya walaupun prestasi semalaman saham Amerika Syarikat (AS) lemah.

Wall Street mengakhiri kenaikan lima hari berturut-turut untuk ditutup rendah dalam persekitaran kebimbangan mengenai ekonomi, kesihatan awam dan dasar berikutan pandemik Covid-19.

Pada 9.08 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.04 mata kepada 1,569.76 daripada 1,566.72 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 4.64 mata kepada 1,562.08.

Suasana pasaran secara keseluruhannya positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 209 berbanding 184, manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,272 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 419.23 juta saham bernilai RM195.76 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota berkata Wall Street mencatatkan penurunan berikutan bimbang mengenai kes Covid-19 yang meningkat di AS.

Dow Jones Industrial (DJI) Average merosot hampir 400 mata untuk ditutup di bawah paras 26,000, justeru itu, pasaran serantau dijangka menyaksikan pembetulan hari ini, katanya.

“Di peringkat tempatan, kami menjangka pengambilan untung akan berterusan berikutan prestasi yang kukuh pada minggu lepas.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan berhenti seketika sekali lagi hari ini dan diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,555 dan 1,565,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik lapan sen kepada RM17.48, Hartalega menambah empat sen kepada RM16.66 dan Top Glove meningkat 16 sen kepada RM20.30.

Maybank susut dua sen kepada RM7.80 dan Tenaga tidak berubah pada RM11.86.

Daripada saham paling aktif, Iris naik 1.5 sen kepada 27.5 sen, Permaju susut setengah sen kepada 33 sen manakala MQ Technology, Sapura Energy dan XOX, masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen, 9.5 sen dan enam sen.

FBM Emas naik 11.89 mata kepada 11,034.34, Indeks FBMT 100 menambah 13.88 mata kepada 10,887.30 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 16.88 mata kepada 12,650.96.

FBM 70 susut 11.55 mata kepada 13,517.29 manakala FBM ACE jatuh 131.45 mata kepada 7,115.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 3.42 mata kepada 13,222.17, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.30 mata kepada 139.37, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 23.24 mata kepada 6,846.97.

-BERNAMA


Pengarang :