Petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat mengambil sampel cecair mulut dan hidung penduduk setempat yang hadir membuat saringan Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 4 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Dua lagi kluster tamat, 28 hari tiada kes

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Dua lagi kluster Covid-19 iaitu, Kluster warga emas Kuala Selangor dan Kluster Labu Lanjut, Sepang ditamatkan tempoh pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selepas 28 hari tiada rekod kes positif baharu dicatatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini berkata dengan penamatan dua kluster berkenaan, jumlah kluster tamat setakat ini ialah sebanyak 62 kluster.

Berdasarkan infografik di catatan sama, Kluster warga emas Kuala Selangor mencatatkan lapan kes positif Covid-19 melibatkan warganegara tanpa sebarang kematian sepanjang tempoh pemantauan.

Kluster Labu Lanjut pula mencatatkan lima kes positif melibatkan warganegara tanpa sebarang kematian dilaporkan.

Kluster warga emas Kuala Selangor mula dilaporkan pada 15 Jun selepas tiga kes positif dikesan di sebuah pusat jagaan, manakala Kluster Labu Lanjut, Sepang dilapor melibatkan lima kes positif pada 20 Jun.

-BERNAMA


Pengarang :