Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes baharu 39, termasuk 28 penularan tempatan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sebanyak 39 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini tertinggi sejak 15 Jun lalu sekali gus menjadikan jumlah kes 8,943 semuanya, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu 28 kes melibatkan penularan tempatan manakala11 jangkitan dari luar negara.

“Empat kes import membabitkan warganegara Malaysia manakala tujuh warga asing masing-masing dari Arab Saudi (satu), Ireland (satu), Korea Selatan (dua), India (satu), Rusia (satu), Amerika Syarikat (satu), Amerika Selatan (satu), United Kingdom (dua) dan Filipina (satu).

“Daripada 28 kes penularan tempatan, 22 kes adalah dalam kalangan warganegara di Sarawak (19), Sabah (dua) dan Kedah (satu) manakala enam lagi bukan warga tempatan di Sarawak (dua) dan Kedah (empat),” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan setakat 12 tengah hari tadi, enam pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan keseluruhan sembuh sebanyak 8,607 kes.

Katanya kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 212 kes daripada keseluruhan 8,943 kes kumulatif Covid-19 di negara ini.

“Sehingga kini, hanya satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu lagi memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan kes kematian dalam negara kekal sebanyak 124 orang,” katanya.


Pengarang :