Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kerajaan Negeri dicadang peruntuk dana bantuan guaman

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri dicadang memperuntukkan dana bantuan guaman bagi membela rakyat yang menjadi mangsa penindasan dan penipuan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata isu pembuangan pekerja, pemotongan gaji dan pembatalan kontrak perniagaan tanpa alasan antara kes berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai pemulaan kita mencadangkan Kerajaan Negeri menyalurkan dana bantuan sebanyak RM3 juta. Penularan Covid-19 dan PKP menimbulkan banyak isu yang membelenggu rakyat bawahan.

“Kita bimbang keadaan hidup mereka semakin tertekan jika mereka tidak dapat pembelaan sewajarnya termasuk kemungkinan peningkatan kes muflis selepas tempoh moratorium tamat September ini,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata dana bantuan guaman yang dipraktikkan di luar negara berjaya memberi keadilan kepada rakyat bawahan.

Bagi mendapatkan hak kesaksamaan di mahkamah, pihak yang kurang berkemampuan boleh mendapatkan khidmat peguam disediakan Kerajaan Negeri.


Pengarang :