Exco Kerajaan Negeri, Ng Sze Han bercakap dalam sidang media di Dewan Annexe pada 14 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor kesal Pusat tolak pinda enakmen hukum pembuang sampah haram

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri kecewa apabila kerajaan Persekutuan menolak cadangannya meminda enakmen untuk menaikkan jumlah kompaun pembuang sampah haram, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata penolakan itu dibuat setelah kerajaan bertukar tangan kepada kerajaan Perikatan Nasional pada Mac lalu.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri mencadangkan supaya hukuman lebih berat dikenakan kerana pembuang sampah haram hanya dikenakan denda RM1,000 sahaja, sudah tentulah ia tidak cukup untuk menakutkan individu tidak bertanggungjawab ini.

“Oleh sebab itu, Selangor mengusulkan supaya enakmen menghukum pesalah ini dipinda, tetapi akhirnya ia ditolak Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor akan lebih tegas menangani masalah pembuangan sampah haram ekoran majoriti Ahli Dewan Negeri turut mengemukakan masalah sama ketika sesi perbahasan.

“Oleh kerana usul kita ditolak di peringkat pusat, maka Kerajaan Negeri akan memikirkan cara lain untuk tangani isu ini supaya ia tidak menjadi lebih buruk,” katanya.


Pengarang :