Seorang pekerja kesihatan yang memakai sut perlindungan diri (PPE) menyusun katil hospital bagi merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Polis tempatkan anggota selepas wujud kluster pusat jagaan warga emas

KLUANG, 21 JULAI: Dua anggota polis bersama sebuah balai bergerak ditempatkan di hadapan pintu masuk pusat jagaan warga emas di Taman Bahagia, dekat sini, susulan penemuan kluster baharu Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata anggota berkenaan ditempatkan untuk tempoh 24 jam setiap hari bermula semalam, susulan kluster baharu membabitkan 11 penghuni pusat berkenaan, seorang kakitangan dan seorang ahli keluarga salah seorang penghuni pusat terbabit.

“Anggota yang bertugas ini akan berperanan untuk memastikan semua perkara berkaitan tatacara operasi piawai (SOP) urusan di rumah kebajikan ini dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak.

“Untuk tujuan itu, tiada pergerakan keluar masuk akan dibenarkan sepanjang tempoh kuarantin dijalankan atau sehingga keadaan pulih sepenuhnya di pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abduh berkata polis akan terus memantau pusat jagaan berkenaan sehingga satu tempoh yang ditentukan dan orang ramai diharap dapat mematuhi serta menjauhkan diri daripada pusat itu selain daripada mereka yang dibenarkan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan mengenai kes baharu melibatkan kluster pusat jagaan warga emas di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan.

Sehingga 12 tengah hari semalam, 39 orang disaring dan mendapati 14 daripadanya positif Covid-19, 18 adalah negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

Kluster itu merekodkan satu kematian pada 19 Julai lepas (kes ke-8770) iaitu kematian ke-123 dalam negara membabitkan seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 72 tahun, yang juga penghuni di pusat jagaan warga emas itu.

Pesakit didapati mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai dan dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, sebelum meninggal dunia di hospital berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :