Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Solat Aidiladha: Bilangan jemaah bergantung kapasiti masjid, surau

SHAH ALAM, 23 JULAI: Umat Islam di negeri ini tidak perlu memohon untuk menunaikan solat Aidiladha di masjid dan surau pada 31 Julai seperti mengerjakan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata bilangan jemaah juga tidak dihadkan tetapi mengikut jumlah kapasiti sesuatu rumah ibadat dengan penjarakan sosial 1.5 meter.

“Perkara ini dipersetujui dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan ia terpakai di semua masjid negeri dan daerah.

“Jais mengingatkan kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri agar mengawal jemaah dan jangan berebut-rebut untuk menunaikan solat Aidiladha kerana ia hanya amalan sunat,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) solat berkaitan sama seperti ditetapkan untuk solat Jumaat dan lima waktu.

Berikut persediaan penting sebelum ke masjid dan surau:
1. Berwuduk dari rumah
2. Memakai pelitup muka
3. Membawa sejadah sendiri (ukuran standard)
4. Sihat dan tidak bergejala (bacaan suhu melebihi 37.5 Celcius dilarang hadir)
5. Menggunakan cecair pembasmi kuman atau membersihkan tangan ketika
hadir dan pulang dari masjid/surau
6. Hadir lebih awal ke masjid atau surau kebenaran khas Jumaat
(sebelum azan pertama berkumandang)
7. Sentiasa mematuhi dan menjaga penjarakan sosial.


Pengarang :