AGENDASUKANKINI

Tiada kejohanan ragbi tempatan sehingga akhir tahun – KRM

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengambil keputusan untuk tidak menganjurkan sebarang kejohanan di peringkat domestik sehingga akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, KRM memaklumkan sebarang kejohanan yang mendapat kelulusan KRM sebelum ini dibatalkan.

Keputusan tersebut dibuat berpandukan maklum balas ahli gabungan KRM berhubung kesiapsiagaan untuk menyertai kejohanan seperti saingan Piala Agong, Kejohanan 7 Sepasukan Kebangsaan dan Liga Ragbi Malaysia (LRM) pada Mesyuarat Exco KRM, Isnin lepas.

“KRM juga setelah mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa kejohanan yang berbentuk karnival seperti Kejohanan 7 dan 10 Sepasukan adalah tidak dibenarkan buat masa ini sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.

Namun, KRM menjelaskan ahli gabungannya dibenarkan untuk menganjurkan Liga Negeri 15 sepasukan (15’s) dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), KBS dan KRM.

“KRM juga membenarkan kursus-kursus dijalankan dengan mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN, KBS dan KRM,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KRM menyatakan mereka ketika ini menunggu pengumuman rasmi daripada Asia Rugby berhubung status kejohanan antarabangsa di bawah kendalian badan induk ragbi Asia itu.

Dalam pada itu, manual SOP sukan ragbi akan disediakan kepada semua ahli gabungan dan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi.

-BERNAMA


Pengarang :