Selangorkini
AGENSI SELANGOR

20 kawasan di Gombak alami gangguan air mulai 11 Ogos

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak 20 kawasan di wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air berjadual untuk tempoh 25 jam mulai 11 hingga 12 Ogos ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata gangguan itu disebabkan kerja tambah baik dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak yang dihenti tugas mulai jam 8.30 pagi pada 11 Ogos.

“Kerja ini bertujuan melancarkan loji agar dapat beroperasi dengan lebih cekap dan memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Kawasan terlibat ialah Batu 8, 9, 10 Jalan Gombak; Taman Permai Jaya Gombak; Kampung Sungai Salak; British Malaysian Institute; Sekolah Al Amin; International Islamic School dan Kolej Vokasional Gombak.

Turut terjejas, Sekolah Integrasi Gombak; Taman Mutiara; Kampung Sungai Cincin; Kampung Tengah Gombak; Kampung Sungai Pusu; Villa Bistari; Desa Gemilang; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA); Pangsapuri UIA; Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Hospital JHEOA.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan yang dijangka pulih pada 12 Ogos jam 9.30 pagi.

Pelanggan boleh merujuk semua saluran rasmi Air Selangor (Facebook, Instagram, Twitter) termasuk laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com, aplikasi telefon pintar atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.


Pengarang :