Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Tambah lagi, suntikan tiga peratus KDNK terlalu kecil

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan diminta menambah peruntukan sebanyak RM45 bilion bagi memantap pertumbuhan ekonomi berikutan suntikan fiskal tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terlalu kecil.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertambahan itu harus disegerakan selain perlu mengelak penyalahgunaan kuasa dan pembaziran dalam menyalurkan dana tersebut.

“Jika ditelusuri cadangan kami kemukakan, antara program yang memerlukan penambahan besar adalah seperti program subsidi upah, inisiatif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan yang perlu ditambah kepada RM33.6 bilion.

“Manakala, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan peruntukan Kementerian Kesihatan bagi perbelanjaan berkaitan Covid-19 masing-masing memerlukan amaun sebanyak RM22.4 bilion dan RM2 bilion.

“Maka, saya menggesa Menteri Kewangan untuk mempertimbang membawa pindaan dalam peringkat jawatankuasa ke atas Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 dengan menambah sebanyak RM45 bilion lagi, menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson juga berkata kadar pengangguran di Malaysia dijangka mencecah sejuta pada hujung tahun ini berikutan penguncupan 17.1 peratus KDNK dalam suku kedua 2020.

Katanya, ia merupakan junaman paling parah sejak krisis kewangan negara lewat 90-an ekoran pandemik Covid-19.

“Statistik mencatatkan 4.9 peratus yakni seramai 773,200 individu menganggur. Jumlah ini dijangka akan mencecah sejuta pada hujung tahun dan lebih terkesan di kalangan belia.

“Dikhuatiri dampak ekonomi lebih menyeluruh dan turut melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan banyak PKS dilaporkan akan menghentikan operasi kerana tidak mampu menepis dampak kemelesetan,” katanya.


Pengarang :