Mohd Najwan Halimi (tujuh dari kiri) bersama peserta Kayuhan Merdeka Kota Anggerik 2020 sebaik tiba di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka pada 20 Ogos 2020. Foto Facebook Mohd Najwan Halimi.
ADNAGENDASELANGOR

Kayuhan Merdeka Kota Anggerik imbau sejarah kemerdekaan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Seramai 14 peserta daripada golongan belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan kakitangan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menjayakan Kayuhan Merdeka 2020 yang dianjur wakil rakyatnya, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Najwan Halimi berkata kayuhan sejauh 190 kilometer (km) dari Shah Alam ke Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-63.

“Pemilihan Dataran Pahlawan sebagai lokasi kayuhan adalah bagi memberi apresiasi terhadap tempat bersejarah negara sekali gus mengimbau kembali kenangan ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebaik pulang dari London.

“Pada masa sama, kita mahu mendekati anak muda melalui amalan gaya hidup sihat seperti aktiviti berbasikal yang diceburi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia sejak kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pelepasan acara kayuhan disempurnakan Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi pada jam 7 pagi di Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik.

Pada jam 11.30 pagi, peserta ekspedisi berhenti rehat di Port Dickson, Negeri Sembilan dan mereka dirai Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semua peserta selamat tiba di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka jam 6.45 petang dan disambut Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.


Pengarang :