Selangorkini
Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam. Foto Facebook
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Belanjawan 2021: MBSA tingkat kualiti infrastruktur, keselamatan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi penekanan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan keselamatan tahun depan seiring matlamat Shah Alam Bandar Raya Pintar.

Datuk bandar berkata antara projek bakal dilaksana ialah pembinaan 30 unit gerai serba guna dan gerai makan di Kampung Baru Subang, Seksyen U6 dengan anggaran peruntukan RM4.5 juta.

“MBSA juga bercadang membina lot kedai dua tingkat di Jalan Pulau Angsa A Seksyen U10 (RM3 juta), gerai di Seksyen U20 Bandar Baru Sungai Buloh (RM500,000) serta kompleks perniagaan dan tempat letak kereta di Seksyen 17 (RM1 juta).

“Cadangan lain ialah menaik taraf padang bola Seksyen 19 dan membina jejantas di Persiaran Institut di Seksyen 7,” kata Dato’ Haris Kasim selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata belanjawan turut memperuntuk masing-masing RM1 juta bagi pemasangan dan penggantian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas dan pembelian perkakasan pusat kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

MBSA membentangkan anggaran Belanjawan 2021 berjumlah RM498.82 juta dengan jangkaan defisit RM28.06 juta.

Haris berkata RM396.14 juta diguna bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan RM130.74 juta, manakala defisit ditampung menggunakan rizab PBT itu.


Pengarang :