AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan penjualan berterusan

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Bursa Malaysia meneruskan penurunan ketika pasaran dibuka hari ini berikutan aktiviti penjualan berlanjutan di kebanyakan kaunter.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.37 mata atau 0.03 peratus kepada 1,496.11 daripada 1,496.48 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.76 mata lebih rendah kepada 1,494.72.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 288 berbanding dengan 134 manakala 283 kaunter tidak berubah, 1,384 kaunter tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 820.14 juta unit bernilai RM351.69 juta.

Mengenai perkembangan di peringkat tempatan baru-baru ini, penganalisis pasaran berkata situasi politik di negara, selain faktor luaran seperti pilihan raya Amerika Syarikat akan datang, telah mencetuskan rasa ketidakpastian.

Bagaimanapun, Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI dijangka dapat bertahan dengan turun naik selanjutnya berikutan ketidakpastian politik tempatan yang baru, ditambah dengan prestasi suram Wall Street dalam tempoh semalaman.

Firma pembrokeran itu berkata aktiviti penjualan lebih ketara kerana dana asing terus beralih daripada ekuiti Malaysia, dengan aliran keluar setakat ini bagi 2020 bernilai RM21.65 bilion.

“Saham berharga rendah dan pasaran meluas akan masih mengalami tekanan kerana sentimen berubah suram sejak akhir-akhir ini manakala pelabur akan terus mengikuti rapat keputusan FTSE Russell mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Top Glove meningkat sembilan sen kepada RM8.11, Public Bank naik dua sen kepada RM15.66, Hartalega menokok 22 sen kepada RM14.72 manakala Maybank, TNB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.17, RM10.90 dan RM5.26 selain Petronas Chemicals susut lapan sen kepada RM5.42.

Bagi saham aktif, Kanger International naik setengah sen kepada 26.5 sen, Solution Group menambah 2.5 sen kepada 72.5 sen sementara Lambo Group, Sapura Energy dan Pasukhas masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen, 11 sen dan 8.5 sen.

Advance Synergy turun dua sen kepada 17 sen, CME Group dan Malayan United masing-masing kurang satu sen kepada 10 sen dan 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 8.10 mata kepada 10,725.89 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 10.73 mata kepada 12,719.49.

FBM 70 turun 25.71 mata kepada 13,821.21; Indeks FBMT 100 menguncup 6.87 mata kepada 10,555.77 dan FBM ACE susut 29.44 mata kepada 10,339.47.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 2.18 mata kepada 12,449.32, Indeks Perladangan turun 6.88 mata kepada 7,080.37 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.03 mata kepada 132.51.

– BERNAMA


Pengarang :