Mazwan Johar (dua, kanan) menyerahkan sumbangan kepada anggota bomba di DUN Sungai Ramal, baru-baru ini
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Covid-19: RM100,000 bantu penduduk, pastikan makanan cukup

SHAH ALAM, 19 SEPT: Hilang mata pencarian antara masalah utama kebanyakan penduduk Sungai Ramal yang terletak dalam Hulu Langat, daerah yang pernah mencatat rekod tertinggi penularan Covid-19.

Mereka termasuk peniaga yang banyak membuka pejabat di Bandar Baru Bangi. Justeru, wakil rakyatnya Mazwan Johar tidak teragak-agak mengguna pakai peruntukan mesra rakyat yang asalnya untuk penganjuran program demi membantu golongan terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita sedia bantuan lebih RM100,000 supaya golongan terjejas dapat menyediakan makanan untuk keluarga masing-masing. Harapannya, mereka dapat bertahan dan berdikari semula,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Biarpun baru penggal ini berkhidmat, Mazwan memahami situasi penduduk, apatah lagi sebahagian mereka turut merayu bantuan.

Untuk barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi virus, Mazwan juga menyediakan bantuan antaranya sut pakaian perlindungan diri, khemah dan bekalan makanan.

Pendidikan

Beliau juga memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan supaya generasi muda berupaya mencorak masa depan DUN Sungai Ramal ke tahap lebih baik.

Tidak hairanlah Mazwan menyalur peruntukan RM271,632. Sejumlah RM177,372 untuk menjayakan projek kecil manakala RM94,260 sebagai sumbangan untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Pelbagai aktiviti juga dirancang untuk meningkatkan prestasi mereka termasuk ‘Program Confirm A’ dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional. Mereka membangunkan perisian khas dan bank soalan untuk persediaan berdepan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Kesungguhan Mazwan membuahkan hasil berikutan jumlah yang memperoleh keputusan cemerlang membabitkan 10 sekolah menunjukkan peningkatan tahun lalu.

“Bagi saya pelaburan untuk pendidikan penting untuk masa depan DUN Sungai Ramal dengan membentuk generasi atau pelapis cemerlang,” kata wakil rakyat berusia 52 tahun.

Beliau juga melapangkan masa bagi meraikan kejayaan pelajar dan sekolah cemerlang dengan mengadakan majlis khas. Mazwan juga selalu menanggung perbelanjaan jika mereka menyertai pertandingan di luar kawasan.

Bagi mengekalkan kualiti kehidupan rakyat pada paras terbaik, Mazwan memastikan kemudahan seperti taman rekreasi dan sukan berada dalam keadaan baik, apatah lagi majoriti penduduk terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi termasuk pensyarah.

“Sejak dibuka sekitar 1970-an, Universiti Kebangsaan Malaysia menarik ramai orang berhijrah dan membina kehidupan di sini. Mereka mahu kehidupan lestari serta tinggal dengan aman seperti berekreasi di taman yang indah.

“Kita ada Taman Tasik Cempaka, berkeluasan 40 ekar yang menjadi lokasi tumpuan riadah. Jika keindahannya terjejas pasti ramai marah. Ini yang saya jaga dengan kerjasama pihak berkuasa,” katanya.

Hab fesyen muslimah

Mazwan juga mahu memanfaatkan lambakan kedai fesyen busana muslimah yang tumbuh bak cendawan di Bandar Baru Bangi untuk dipromosi sebagai hab fesyen.

Beliau yakin kunjungan pembeli membantu meningkatkan ekonomi penduduk dan berharap Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan bagi menjayakan kempen itu.

“Banyak kedai fesyen muslimah terkemuka menarik minat pembeli dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Boleh dikatakan Bandar Baru Bangi menjadi hab fesyen muslimah kerana ramai ke sini bagi mendapatkan produk terkini,” katanya.

Penduduk di DUN Sungai Ramal turut menerima pelbagai inisiatif antaranya:

1. Skim Peduli Sihat: 1,385 penerima
2. Kad Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss): 425 penerima
3. Jom Shopping Perayaan:
– 850 penerima (Hari raya Aidilfitri)
– 450 penerima (Tahun Baru Cina)
– 450 penerima (Hari Deepavali)


Pengarang :