Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pemenang sempena Malam Anugerah Ikon Agro Selangor di Dewan Orkid Wisma PKPS Shah Alam pada 14 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ikon Agro: Guna teknologi tinggi jana hasil lumayan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Penggunaan teknologi tinggi dalam pertanian memberi pulangan lumayan meskipun terpaksa berbelanja besar untuk mengusahakannya.

Khairul Azuan Abdul Razak, 39, memilih sistem pengairan udara sejak sedekad lalu untuk menghasilkan lima tan buah tembikai emas (golden melon) dalam tempoh seminggu.

Lebih membanggakan, katanya, teknologi yang dipatenkan pada 2015 turut dipasarkan ke Qatar serta Indonesia.

Khairul Azuan Abdul Razak

“Tembikai emas sukar ditanam di kawasan tanah rendah namun teknologi kita mampu mengeluarkan hasil dengan kualiti diperlukan pasaran,” kata salah seorang Ikon Agro Selangor 2020 yang menceburi bidang tersebut selama 13 tahun.

Seorang lagi ikon, Khartini Isa, 44, berdepan cabaran mengusahakan produk makanan berasaskan ikan tuna sirip kuning yang disifatkan liar dan mahal.

Pengarah operasi myDrTuna Sdn Bhd itu berkata produk utamanya iaitu sate sirip kuning dipotong secara manual bagi mengekalkan kualiti.

Khartini Isa

“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kita mengambil langkah drastik dengan menghebahkan produk melalui media sosial dan menghantar terus kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, kita dapat kekalkan pendapatan malah ikan tuna ini juga mempunyai khasiat Omega 3 yang sangat tinggi, protein dan mioglobin,” katanya.

Sementara itu, penternak ayam Syaizul Abdullah Syamil Zulkaffly, 31, menggunakan kamera litar tertutup bagi memantau keadaan reban miliknya.

Syaizul Abdullah Syamil Zulkaffly

Jelasnya, langkah yang diambil sejak beberapa tahun lalu sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini dan meminimumkan bilangan pekerja.

“Sekarang kita kena kurangkan pekerja kerana teknologi adalah kunci. Dalam tempoh lima tahun lagi semua teknologi ini bertambah murah. Segala yang kita rancang perlu melihat kepada tempoh lima tahun akan datang,” katanya.


Pengarang :