Beberapa pengikut ‘Rasul Melayu’ ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 20 Sept 2020. Foto Jais
AGENSISELANGOR

Jais tahan ketua ajaran sesat ‘Rasul Melayu’, 16 pengikut

SHAH ALAM, 21 SEPT: Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad ditahan bersama 16 pengikut malam tadi, kata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya turut menyita buku, telefon bimbit, komputer riba, Al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran.

“Semua tahanan termasuk lapan wanita kini ditahan di Ibu Pejabat Jais untuk tindakan lanjut. Siasatan mendapati ajaran ini mempunyai 97 ahli dan tangkapan lain akan dibuat,” katanya pada Majlis Mesra Media 2020 hari ini.

Beliau menambah individu berusia 14 hingga 70 tahun itu ditahan di Kemensah, Hulu Klang; Sungai Long, Kajang dan Keramat, Kuala Lumpur dalam operasi berasingan bermula jam 9 malam.

Menurutnya, ajaran sesat yang difatwakan haram sejak 1991 menggunakan platform WhatsApp dan Facebook bagi menyebar fahaman sesama ahli.

“Perhimpunan ahli tidak lagi dianjurkan bagi mengelakkan dikesan. Jadi bagi mengaburi pihak berkuasa, mereka gunakan cara lebih halus,” katanya.

Pada Mei 2016, Abdul Kahar, 70, dibebaskan dengan parol selepas Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan beliau dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat pada Oktober 2009.


Pengarang :