Pemain bola sepak Selangor giat menjalani latihan pertama kali dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 di Padang SUK, Shah Alam pada 22 JUN 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

KBS puas hati patuh SOP Covid-19 aksi Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19 dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding sepanjang aksi Liga Malaysia (Liga-M) disambung semula, bermula hujung bulan lepas.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan demikian selepas pihaknya mendapat laporan pengelolaan perlawanan Liga-M, selain beliau sendiri ‘turun padang’ memantau pematuhan SOP di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras membabitkan aksi Liga Super antara Kedah dengan Sabah, malam tadi.

“Alhamdulillah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang ditetapkan…mereka telah melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dengan Sabah. Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan lain dan semuanya berjalan lancar.

“Dengan pematuhan penjarakan fizikal, SOP ketika pendaftaran masuk sehingga ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik. Saya berharap ia akan berterusan kerana jika terus positif seperti ini, kita akan (seterusnya) dapat ke Fasa Lima dan Enam,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Liga-M kembali bersambung bermula 26 Ogos lepas sejak ditangguhkan pada 16 Mac akibat penularan pandemik Covid-19, dan kini berada di Fasa Empat iaitu kerajaan membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton.

Reezal Merican berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga-M sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beralih ke fasa seterusnya yang membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.

“Tapi saya tidak mahu letak harapan lagi kerana apa yang penting agar semua dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas untuk elak sebarang kemungkinan jangkitan Covid-19, dan untuk sekarang saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Sebanyak 48 perlawanan Liga Super dan Liga Premier telah berlangsung dengan lancar menerusi pematuhan SOP yang ketat, setakat ini.

Aksi Liga Super dan Liga Premier kini berbaki tiga perlawanan bagi setiap pasukan sebelum saingan Piala Malaysia bermula pada 17 Oktober ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :