Manickavasagam memeriksa buah tembikai wangi yang berusia sebulan setengah
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Kebun tembikai kuasa solar

Foto Remy Arifin

KEBUN P Manickavasagam bukan di atas tanah terbentang luas, sebaliknya tanaman tembikai wangi (rock melon) diusahakannya hanya di lot parkir terbiar.

Terletak di bumbung tingkat empat Plaza Sri Muda, Shah Alam yang panas dan berangin, sesuai untuk tanaman itu, kawasan seluas 1,800 meter persegi asalnya berlumut, catnya luntur bahkan ada dindingnya kopak.

Beliau mengambil masa beberapa bulan sebelum mengubahnya kepada ‘panorama’ hijau apabila kebun itu mula ‘menjadi’ sejak 10 tahun lalu.

Malah, pengarah Kolej VIS Mechatronic berusia 60 tahun juga menggunakan kepakarannya dalam bidang mekatronik untuk membangunkan sistem kuasa solar dan program pengkomputeran di situ.

Panel solar

Lapan panel solar dipasang untuk menjana kuasa elektrik bagi menggerakkan pam yang menyalurkan baja cecair dan air ke tanaman. Panel itu mampu menghasilkan kuasa 2,000 watt, malah ia boleh disimpan dalam enam bateri.

Tanaman tembikai wangi di atas parkir Kolej VIS Mechatronic

Beliau berbelanja kira-kira RM6,000 untuk membina sistem tersebut. Ketika itu, harga panel jauh lebih mahal berbanding sekarang.

“Walaupun modal permulaan agak tinggi tetapi untuk jangka panjang kaedah itu jauh menjimatkan dan praktikal untuk ladang-ladang yang biasanya tiada bekalan elektrik.

“Saya harap idea ini boleh digunakan petani lain kerana biasanya ladang-ladang pertanian tiada bekalan elektrik, lebih-lebih lagi kos untuk membina sistem solar sekarang semakin murah dan mudah,” kata Manickavasagam kepada SelangorKini baru-baru ini.

Campuran baja dan air disalur menggunakan komponen ‘programmable logic controller’ (PLC) melalui komputer dengan 48 batang paip sepanjang enam meter. Paras baja cecair di tangki pula dikawal menggunakan pengesan had (level sensor). Pam berfungsi apabila ia mencapai paras ditetapkan. Teknologi itu mengelakkan pembaziran sekali gus mengurangkan penggunaan sumber tenaga manusia.

Kaedah hidroponik

Manickavasagam memulakan penanaman itu dengan modal permulaan kira-kira RM7,000. Awalnya, beliau menanam 500 pokok menggunakan kaedah fertigasi. Namun, beliau beralih kepada teknik hidroponik – mudah diurus, hasil lebih banyak dan kualiti buah-buahan meningkat.

Manickavasagam meninjau tekanan air yang akan disalurkan ke tanaman

Risiko serangan serangga juga jauh lebih rendah menggunakan teknik hidroponik. Sedangkan, kaedah fertigasi memerlukan penanaman dalam polibeg yang mengandungi sabut kelapa dan tanah sekali gus memerlukan lebih masa untuk diselenggarakan.

Bagi penyediaan tapak, teknik hidroponik cuma mengambil masa kira-kira seminggu untuk disediakan berbanding lebih 15 hari menggunakan kaedah fertigasi yang memerlukan proses memulihkan tanah sebelum boleh ditanam semula.

Gred A

Pokok tembikai mengambil masa kira-kira 75 hari untuk mengeluarkan hasil. Kebun itu mampu mengeluarkan lebih 3,200 buah gred A, rata-ratanya seberat dua kilogram. Buah gred A akan dibeli peraih pada harga kira-kira RM9 sebiji manakala bakinya dijual sendiri di kawasan berhampiran.

Justeru, Manickavasagam yang mendapat bimbingan dan bantuan baja daripada Jabatan Pertanian Gombak memperoleh jualan antara RM7,000 hingga RM8,000 setiap kali tiba masa menuai.

Beliau yang kerap dijemput Jabatan Pertanian untuk memberi ceramah berharap lebih ramai petani menggunakan kaedah berteknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran. Manickavasagam juga giat melakukan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran buah gred A.

“Kita perlu sedar keluasan tanah untuk pertanian semakin berkurangan disebabkan pembangunan tetapi dengan pertanian moden masalah ini dapat diatasi,” katanya.

 


Pengarang :